GEMPAR! WARGA EMAS INI SEMPAT MENCEKIK ULAR TEDUNG SEBELUM PARAH DIPATUK

WARGA emas nyaris maut apabila dipatuk ular tedung selar ketika cuba membunuh reptilia berbisa itu di Kampung Batu 18, Ayer Hitam, Lendu dekat Alor Gajah.

Dalam kejadian 5 petang Ahad lalu, Mohd Ali Md Ros, 77, parah dipatuk di paha kiri manakala jirannya, Mohd Faiz Ahmad, 23, cedera apabila jari telunjuk kirinya tertusuk taring ular ketika mencuba membantu Mohd Ali.

Isteri Md Ali, Siti Zaharah Basiron, 61, berkata, sebelum kejadian, dia menggosok baju di ruang tamu rumahnya.

“Tiba-tiba saya ternampak ular tedung selar menyusur masuk ke halaman rumah dari semak di seberang jalan.

“Saya menjerit memberitahu suami. Saya kemudian nampak ular itu berada di pokok pisang bersebelahan rumah,” katanya ketika ditemui hari ini.

Menurutnya, suaminya mencapai sebilah sabit untuk membunuh ular berkenaan, namun ia menyerang dan mematuk paha kiri Mohd Ali menyebabkan dia terjatuh dan meraung kesakitan.

“Dalam itu, suami sempat mencekik ular berkenaan walaupun ia membelit kaki kirinya.

“Saya menjerit meminta tolong sebelum menantu jiran datang membantu mencekik kepala ular itu daripada terus meronta-ronta untuk melepaskan dirinya,” katanya.

Siti Zaharah berkata, suaminya kemudian dikejarkan Hospital Alor Gajah sebelum dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka berikutan kecederaan parah yang nyaris meragut nyawanya.

“Keadaan suami kini beransur pulih dan dijangka dipindahkan ke wad biasa tidak lama lagi,” katanya.

sumber: hmetro

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*