Virus “WannaCry” Mengganas!

sumber: http://www.hmetro.com.my/

Agensi
SERANGAN siber ‘WannaCry’ yang menimbulkan kekecohan global sejak Jumaat lalu, menggunakan Eternal Blue yang dibangunkan oleh Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA) Amerika Syarikat yang didakwa dicuri, lapor Financial Times.

Malware itu yang sudah menjangkiti ratusan ribu komputer di 150 negara, mengeluarkan poster merah “Oops, your files have been encrypted!” dan menuntut bayaran melalui bitcoin sebanyak AS$300, dinaikkan kepada AS$600 jika enggan dan fail dalam komputer akan dimusnahkan beberapa jam kemudian.

WannaCry menjangkiti rangkaian komputer dengan bantuan Eternal Blue yang membolehkan malware merebak melalui perkongsian data atau fail.

Setakat ini belum diketahui pihak yang melakukan serangan itu namun agensi keselamatan di Britain percaya ia dilakukan sekumpulan penjenayah.

Pengarah Teknikal Symantec Security Response, Vikram Thakur, berkata hanya seorang dalam suatu pertubuhan atau syarikat klik dan seluruh rangkaian komputer akan dijangkiti.

Menurut AP, setakat ini, serangan siber itu sudah melumpuhkan sistem komputer rangkaian hospital Britain, sistem kereta api Jerman serta Kementerian Dalam Negeri Russia manakala Bloomberg melaporkan FedEx dan Nissan turut terjejas.

Bagaimanapun, Hitachi dan Nissan menyatakan walaupun terkena serangan itu, namun ia tidak menjejaskan operasi perniagaan

Ransomware ialah serangan virus yang mengunci komputer dan pemilik perlu membayar wang tebusan untuk membukanya.

Agensi berita China melaporkan 29,372 institusi terjejas membabitkan ratusan ribu komputer manakala Pusat Penyelarasan Pasukan Tindakan Kecemasan Komputer Jepun melaporkan 2,000 komputer di 600 lokasi di Jepun terjejas.

Menurut agensi berita China, Xinhua, kira-kira 15 peratus URL di negara itu dijangkiti dan sudah menjejaskan universiti dan kolej, sistem kereta api, pos, stesen minyak, hospital serta kompleks beli belah.

Serangan itu menjejaskan komputer di kilang, bank, agensi kerajaan dan sistem pengangkutan di banyak negara, termasuk Russia, Ukraine, Brazil, Sepanyol, India dan Jepun.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*